AKTIVITI PSS

TEMUDUGA PENGAWAS PSS
Proses temuduga telah diadakan pada 22 Februari 2012 yang lalu. Semua calon nampak begitu bersemangat semasa menghadiri sesi temuduga tersebut.  Pengawas baru yang akan dilantik cuma 12 orang tetapi yang memohon 30 orang. Hai! pening juga kepala untuk memilih calon yang sesuai. Jadi kepada yang terpilih tu kena pandailah bersyukur kepada Allah. Tanggungjawab yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan sebaik mungkin. Jangan tunggu arahan guru baru bertindak. Gunakan anugerah akal untuk berfikir dan merencanakan tugas yang diberi mengikut kreativiti masing-masing. Kepada pengawas lama yang dikekalkan, diharap dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan sebaik mungkin.

BENGKEL PROSES TEKNIK BUKU
                Bengkel ini telah diadakan pada hari Sabtu 17 Mac 2012. Semua pengawas PSS sama ada yang baru atau yang lama telah diberi kursus agar mereka lebih memahami dengan lebih mendalam cara buku-buku di Pusat Sumber diproses. Setiap langkah diajar dengan teliti untuk mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh mencacatkan sesuatu proses yang terlibat. Misalnya bagi proses menampal label tulang, sekiranya mengikut ukuran yang telah ditetapkan akan menampakkan susunan buku di rak lebih kemas dan teratur. Semua proses perlu mengikut ukuran yang telah ditetapkan. Semua pengawas PSS berhenti rehat pukul 12.30 tengah hari dan dijamu dengan nasi bungkus ayam berempah yang sungguh enak. Bengkel yang berakhir pada pukul 4.00 petang ini dirasakan sangat berjaya kerana berdasarkan pemerhatian dan penilaian yang dibuat 90% daripada mereka memahami apa yang perlu dilakukan dalam proses teknik buku.

BENGKEL PENGURUSAN KERATAN AKHBAR
                Pengurusan bahan-bahan yang terdapat dalam akhbar sangat penting kerana banyak kandungan dalam akhbar boleh dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Bengkel ini telah diadakan pada hari Sabtu 24 Mac 2012. Semua pengawas PSS telah diajar tentang pemilihan bahan dalam akhbar, kaedah menggunting, cara mencatat maklumat penting bagi bahn yang telah digunting. Bahan-bahan ini diagihkan mengikut tajuk dan judul yang telah ditetapkan. Tugas ini sebenarnya agak sukar dilakukan.Bengkel yang bermula pukul 8.30 pagi telah berakhir pada pukul 4.00 petang. Bahan-bahan yang telah digunting ditampal di atas kertas warna bagi menjadikannya lebih menarik. Bengkel ini sebenarnya tidak mencapai objektif pembinaan buku skrap, fail tegak dan bahan penghias meja kerana kesuntukan masa. Bengkel seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang dengan suntikan idea yang lebih segar daripada guru-guru PSS.


 READING CONTEST ATAU PERTANDINGAN MEMBACA 
                Aktiviti ini telah dapat mencungkil kecekapan membaca dalam kalangan pelajar SMK Baroh Pial. Ternyata membaca buka suatu tugas yang mudah.Pertandingan ini telah diadakan pada minggu Sains Sosial, Teknik dan Vokasional. Antara strategi pertandingan yang diadakan ialah dengan menetapkan muka surat yang perlu dibaca oleh pelajar dalam tempoh waktu yang tertentu. Mereka kemudian akan bergerak ke stesen yang menyediakan soalan berdasarkan bacaan yang telah dibuat. Mereka perlu menjawab soalan dalam masa yang telah ditetapkan. Pelajar harus mempunyai skil pembacaan yang baik seperti skimming dan scanning bagi memastikan mereka benar-benar mahir membaca. Pertandingan ini sangat menarik dan hanya tiga kumpulan terbaik dipilih sebagai pemenang.


LAWATAN KE KUALA TERENGGANU
 Buat julung kalinya PSS SMK Baroh Pial telah bekerjasama dengan PSS SMK Rantau Panjang menganjurkan lawatan sambil belajar ke Kuala Terengganu pada 26 hingga 27 April 2011. Lawatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga SMK Baroh Pial. Namun disebabkan tempat yang terhad maka ramailah yang kecewa. Hanya 20 orang sahaja yang terpilih untuk mengikuti rombongan tersebut. Banyak tempat menarik di Terengganu telah dilawati seperti UNISZA, Planetarium, Pulau Wan Man, Lapangan Terbang, Pantai Batu Burok dan Pasar raya Mydin. Kami telah menginap di Sri Indah Beach resort sambil mandi manda di kolam yang terdapat di situ. Wah! seronok sungguh mandi kolam sampai tak ingat dunia. Dalam perjalanan pulang kami memborong keropok lekor dan keropok kering sebagai buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan.



PELANCARAN PROGRAM NILAM
Sempena minggu bahasa yang telah berlangsung  dari 22 hingga 29 April 2012, majlis pelancaran Program NILAM telah diadakan. Sebelum itu majlis anugerah khas kepada pelajar sekolah ini yang telah berjaya menjadi Naib Juara  dalam Pertandingan NILAM peringkat daerah Pasir Mas turut disempurnakan oleh tetamu jemputan. Seramai 10 orang pelajar yang telah berjaya mencapai pingat Emas, Perak dan Gangsa turut diberi anugerah. Program ini sebenarnya ingin menyemarakkan lagi semangat membaca dalam kalangan pelajar SMK Baroh Pial. Selain sijil hadiah yang disediakan kepada mereka ialah buku. Budaya membaca akan terus disuburkan di SMK Baroh Pial dengan aktiviti yang lebih kreatif.



PROGRAM OUTREACH PEMBESTARIAN PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN
             
Program ini telah diadakan di SMK Kandis Bachok pada 11 September 2012. Sekolah yang terpilih untuk menyertai program ini ialah sekolah-sekolah yang berjaya mendapat lima bintang dalam SSQS. SMK Baroh Pial telah terpilih untuk menyertai program tersebut. Program ini telah dirasmikan oleh wakil Pegawai Pelajaran Daerah Bachok Selain daripada wakil PPD yang memberi ucapan perasmian, Tuan Pengetua SMK Kandis dan KPP BTPN Kelantan juga turut memberi ucapan alu-aluan..Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program tersebut ialah pameran dan pertandingan ICT yang melibatkan guru dan pelajar. Setiap sekolah diwakili oleh dua orang guru dan dua orang pelajar. Antara pertandingan yang diadakan ialah kuiz antara guru, memasang peralatan komputer, merekacipta kad selamat hari raya dengan pantun ICT dan DAT. SMK Baroh Pial telah muncul sebagai JUARA KESELURUHAN dalam semua pertandingan tersebut. Syabas dan tahniah.


BENGKEL ORGANISASI BAHAN PENGAWAS PSS SIRI 1

                  Bengkel ini telah diadakan pada hari Khamis 25 Januari 2013 bermula pukul 8.00 pagi sehingga pukul 4.00 petang. Seramai 25 orang pengawas PSS telah menghadiri bengkel ini, Dua orang guru yang terlibat mengendalikan bengkel ialah GPM dan Cik Fatimah Musa iaitu guru pengawas PSS. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah Proses Teknik Buku dan key in data untuk kad pinjaman pelajar. Dua orang pelajar senior pula dilantik sebagai fasilitator bagi melancarkan lagi kerja-kerja yang dilaksanakan. Pengawas PSS diingatkan agar melakukan tugas mereka dengan cekap dan cermat. Sebarang kesilapan agak sukar diperbetulkan. Selain itu kerja-kerja tersebut juga harus dilakukan dengan teliti dan berfokus. Hasil yang baik akan tampak seandainya kerja yang dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Sebanyak 500 kad pinjaman pelajar berjaya disiapkan pada hari tersebut. Begitu juga sebanyak 100 buah buku berjaya diproses dan dinaikkan ke rak. Berkat kerja berpakat, kerja menjadi lancar tidak tersekat-sekat, Tugas yang sukar menjadi mudah.
PROGRAM ANUGERAH NILAM PERINGKAT PPD /PKG DAERAH PASIR MAS

                  Program tersebut telah diadakan pada  hari Rabu, 6 Februari 2013. Semua sekolah di bawah PPD Pasir Mas telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Program NILAM pada tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya kerana pertandingan pada tahun ini dilaksanakan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selain itu pertandingan ini melibatkan dua kategori iaitu Tingkatan Lima dan Tingkatan Empat. Majlis yang bermula pada pukul 9.00 telah berakhir pada pukul 3.00 petang. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Mas. SMK Baroh Pial telah menghantar sembilan orang peserta iaitu empat orang untuk kategori tingkatan lima dan lima orang kategori tingkatan empat. Keputusannya tiga orang pelajar telah berjaya mendapat tempat serta mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan tersebut. Seorang pelajar telah berjaya menjadi Johan dalam NILAM Bahasa Inggeris kategori tingkatan empat manakala seorang lagi berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori yang sama. Seorang pelajar lagi telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam NILAM Bahasa Melayu, juga untuk kategori tingkatan empat. Semua peserta tingkatan lima tidak mendapat tempat sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Hal ini bermakna seorang peserta dari SMK Baroh Pial akan mewakili PPD Pasir Mas dalam pertandingan NILAMperingkat Negeri. Tahniah dan syabas kepada semua pemenang.

TEMUDUGA PENGAWAS PSS UNTUK SESI 2013


Temuduga memilih pengawas PSS yang baru telah diadakan pada hari ini, 18 Februari 2013 bermula pukul 2.00 petang dan berakhir pada pukul 3.00 petang. Seramai 25 orang pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan empat telah ditemuduga. Tiga orang guru pusat sumber terlibat dalam proses temuduga tersebut iaitu Cik Fatimah, Pn. Rubiah dan Pn. Juraini. Proses temuduga berjalan lancar. Setiap pelajar yang ditemuduga begitu bersemangat mempromosikan diri mereka. Biasalah apabila ditanya kesanggupan melaksanakan tugas di PSS semuanya sanggup. Walau bagaimanapun kami mempunyai keupayaan untuk mengesan pelajar yang betul-betul boleh dipercayai untuk melaksanakan tugas-tugas di PSS.

Pelajar-pelajar sedang menunggu giliran

MAJLIS PENGANUGERAHAN NILAM 2013

Sebagaimana yang telah dirancang, majlis penganugerahan NILAM akan diadakan dua kali setahun. Penganugerahan kali pertama diadakan pada Bulan April.. Manakala pada hari Ahad 14 Oktober lepas. majlis penganugerahan kali kedua telah berlangsung dengan jayanya. Seramai 40 orang pelajar telah menerima sijil pelbagai tahap. Seorang menerima NILAM dan dinobatkan sebagai tokoh NILAM sekolah, tiga orang menerima Emas dan selebihnya Perak dan Gangsa. Pelbagai hadiah menarik disediakan kepada penerima sijil tersebut. Majlis disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMK Baroh Pial.

PEMANTAUAN PSS UNTUK PROGRAM JUARA PERINGKAT PPD PASIR MAS

Pada hari Isnin 21 Oktober PSS SMK Baroh Pial telah didatangi oleh pemantau untuk membuat penilaian bagi Program Juara PSS untuk tahun 2013. Beliau ialah En. Abd Hadi yang bertugas sebagai PK Ko di SK Lubok Setol. Beliau telah melawat kesemua unit-unit di bawah PSS. Pelbagai komen membina telah dilontarkan.Antaranya yang berkaitan dengan pengurusan PSS dan unit-unit di bawahnya, keceriaan, aktiviti pelajar, pengurusan kewangan secara berhemah. pengurusan fail dan penambahbaikan kemudahan yang ada. Semua komen diterima dengan hati yang terbuka dan isyaAllah segala kelemahan akan cuba ditangani sebaik mungkin.Kreativiti antara perkara yang ditekankan oleh En. Hadi. Memang tidak dinafikan daya kreativiti dalam penyusunan bahan dan aspek fizikal yang lain akan dapat menarik minat pelajar untuk membaca. Guru seharusnya menjadi teladan dalam usaha memperkayakan maklumat dalam diri mereka. Sesi brainstorming tersebut bermula pukul 8.45 pagi dan berakhir pukul 12.00 tengah hari. Mungkin kali ini PSS SMK Baroh Pial tidak bernasib baik namun harapan dan impian untuk menjadi juara tetap ada.